About my Blog

Home Sweet Home.Kediaman yang tenang memang penting. Kalau ada masalah, rumah mesti jadi tempat paling sesuai nak mencari jalan keluar. Bukan keluar rumah, tapi keluar dari masalah. Bila fikirkan rumah, terasa seronok. Tak kira rumah besar atau kecil, ada banyak barang mahal atau sekadar biasa-biasa. Yang penting kita mesti suka bila berada dirumah. Lagi satu, memasak memang bukan kepakaran saya. Tapi saya suka resepi masakan. Manalah tau esok lusa jadi pakar hehe.

Friday, 17 September 2010

Kohara dan Ikan Siakap Bersambal


Seindah dan seunik namanya. Kohara Lodge. Pertama kali melihat imej kediaman ini, saya jatuh hati dengan rekabentuk dan persekitarannya. Ringkas, nampak tenang dan begitu dekat dengan alam. Ya, idea untuk mencipta kediaman yang bersatu dengan alam ini adalah ilham Murray Cockburn Partnership. Terletak di New Zealand, Murray Cockburn Partnership  menjadikan Shotover River dan Coronet Peak sebagai penghias semulajadi laman kediaman ini. Kohara Lodge mempunyai 3 bilik mandi, 4 bilik tidur, sebuah ruang tamu terbuka, dapur yang luas, kolam dan juga spa. Lebih banyak imej Kohara Lodge boleh didapati di www.architecturesdesign.com


Untuk resepi kali ini ialah Ikan Siakap Bersambal. 

Ikan Siakap Bersambal

Bahan-Bahan:
1 ekor ikan siakap sederhana besar
2 biji limau kasturi
20gm tepung jagung
10gm garam

Cara Penyediaan:
1. Ikan siakap dibelah dua dan dibersihkan.
2. Satukan tepung jagung, garam dan jus limau. Gaulkan pada ikan tadi.
3. Goreng ikan dalam minyak yang banyak.

Untuk Sos Manis (Sambal Ikan Siakap):
5 biji cili merah dikisar
8-10 tangkai cili kering, dikisar
8 biji cili padi, dikisar
1 biji bawang besar, dikisar
2 ulas bawang putih, dikisar
2 batang serai
2-3 helai daun limau
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis
3 sudu besar sos tomato
2cm belacan

Cara Penyediaan Sos:
1. Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga masak.
2. Masukkan sos tomato, belacan, daun limau, garam dan gula. Gaul sehingga sebati.

Bahan Tumis Hiasan (Ikan Siakap)
Bahan-Bahan:
1 biji bawang merah, dihiris
3 biji cili merah
3 biji cili hijau
1 biji tomato, dipotong 6
1 biji timun, dipotong panjang
1 batang serai, diketuk
Minyak masak untuk menumis

Cara Menyediakan:
1. Semua bahan tersebut dipotong
2. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dipotong tadi.
3. Masak sehingga layu dan tos.
4. Akhir sekali, tuangkan sos dan bahan tumisan hiasan keatas ikan yang digoreng tadi. Hidangkan.





Wednesday, 15 September 2010

Rumah Tasik Bersama Agar-Agar dan Puding Roti


Pernah tengok cerita The Lake House lakonan Sandra Bullock dan Keanu Reeves? Ceritanya mungkin tak berapa terkenal tapi saya pernah menontonnya kerana tertarik dengan rumah  kaca rekaan Nathan Crowley ini. Rekaan ini unik, bagi saya ia luar biasa (Lagipun, saya sukakan dinding kaca). Dengan keluasan 2000 kaki persegi dan siap dibina dalam tempoh 10 minggu, ia memenangi Award of Merit dari Structural Engineers Association of Illinois. Walaubagaimanapun, ia dimusnahkan selepas tamatnya penggambaran filem tersebut. 

Ok, menu bersama rumah hari ini ada dua iaitu Agar-Agar Warna dan Puding Roti

Agar-Agar Warna

Bahan-Bahan:
1 liter air
50g serbuk agar-agar (jeli)
250-300g gula kastor
Aneka buah-buahan (potong ikut citarasa)

Cara:
1. Masak air. Masukkan agar-agar dan gula. Kacau hingga mendidih.
2. Buah-buahan yang sudah dipotong diisikan kedalam acuan.
3. Tuang agar-agar kedalam acuan yang mengandungi potongan buah-buahan tadi.
4. Keluarkan dari acuan dan enak dimakan sejuk.

Puding Roti

Bahan-Bahan:
50g coklat masakan
70ml krim putar (whipping cream)
3 biji telur
300ml susu segar
200ml krim putar (whipping cream)
3 keping roti, dipotong dadu
1 camca kecil esen vanilla

Cara:
1. Masak coklat menggunakan kaedah double boil/bain marey. Caranya letakkan mangkuk berisi coklat diatas periuk yang berisi air dan periuk pula diletakkan diatas api. Apabila coklat cair, angkat dan ketepikan.
2. Campurkan telur, susu, krim putar dan gula kastor didalam bekas adunan. Putar sebati. Kemudian masukkan coklat cair dan gaulkan sebati.
3. Masukkan roti kedalam acuan.
4. Tuangkan adunan tadi keatas roti. Bakar dengan teknik water bath pada suhu 170 darjah selama 15 hingga 25minit.


Rumah Pokok dan Salad Buah-Buahan


Dikelilingi pokok-pokok dengan rekaan bersegi-segi macam ni memang favourite saya. Modern and stylish. Ini adalah rekaan Joel Sherman yang memaparkan keindahan gabungan steel and wood dengan keluasan 2500 kaki persegi. Untuk foto serta maklumat tentang kediaman ini, bolehlah melawat ke http://studiowellspring.blogspot.com/

Lepas tengok rumah terus terasa nak makan hehe. Ini resepi salad aneka buah-buahan yang saya dapat dari sebuah majalah lama. Boring-boring tengok majalah-majalah lama, terjumpa pula resepi ni. Tak ada gambar tapi dari bahan-bahannya pun dah dapat bayangkan betapa terliurnya bila dah tersedia depan mata :)

Salad Aneka Buah-Buahan


Bahan-Bahan:
1/4 biji nenas,didadu
1/4 biji betik, didadu
1 keping tembikai madu, didadu
1/2 biji mangga, dibuang bijinya dan didadu
Hirisan nangka
10 biji rambutan, dibuang kulit dan bijinya
Sedikit daun pudina
1/2 cawan biji gajus, dibakar sedikit dan dicincang kasar

Kuah Kelapa untuk Salad:
1/2 cawan kelapa kering
1/2 cawan keju krim
200ml santan kelapa
2 1/2 sudu besar madu
1/2 sudu teh air bunga mawar

Cara:
1. Bahan-bahan kuah salad dimesin lumat sehingga sebati
2. Dihidangkan bersama buah-buahan dan taburkan buah gajus dan sedikit daun pudina

Maka, inilah dia rumah dan resepi pertama untuk pertama kalinya dalam blog RumahManisRumah.